Ceria All Stars Tampilkan Bakat Cilik Luar Biasa & Serba Boleh

3:12 am


Dua hari lepas berkesempatan untuk ke sidang akhbar untuk program Ceria All Stars. Teruja lihat bakat-bakat cilik Ceria All Stars buat persembahan haritu. Kecik-kecik dah berbakat semua kan? Astro meneruskan misi pencarian bakat-bakat cilik tanahair menerusi sebuah rancangan realiti terbaru, Ceria All Stars yang akan disiarkan bermula 27 November 2015, setiap Jumaat jam 9.00 malam di Astro Ceria, Saluran 611 dan Maya HD, Saluran 135. Menariknya, Astro Ceria sekali lagi tampil dengan konsep baru yang lebih segar dalam meneruskan usaha mereka mengenengahkan bakat-bakat anak kecil di Malaysia.



Bertitik-tolak dari kejayaan Ceria Popstar dan Ceria Superstar sebelum ini, Ceria All Stars membuka peluang lebih luas lagi kepada kanak-kanak dalam mempamerkan kepelbagaian bakat generasi muda tanahair melalui formatnya yang lebih terbuka. Tidak hanya terhad pada bakat tarian dan nyanyian semata-mata, Ceria All Stars mempunyai misi penting mengupas bakat-bakat luar biasa yang ada di Malaysia. Para peserta diberi kebebasan mempamerkan apa sahaja bakat yang mereka ada. Tidak kira dari genre apa sekalipun, Ceria All Stars memberikan peluang buat adik-adik kita ini mempamerkan kelebihan masing-masing. Dari nyanyian sehinggalah lakonan, aksi akrobatik dan kelincahan di pentas tari, ketangkasan dalam seni mempertahankan diri seperti karate dan taekwondo, silap mata mahupun kemahiran bermain alat muzik, semuanya akan dapat kita saksikan dalam Ceria All Stars!


Seramai 20 orang beserta aksi-aksi menarik lagi unik telah berjaya melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Pengacara popular tanahair, Datuk Aznil Haji Nawawi bertindak selaku penaung dan ‘father-figure’ kepada program Ceria All Stars manakala  Jihan Muse diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai pengacara ditemani Mia Sara selaku pengacara bersama. Pelakon popular Nora Danish dan Nabil Ahmad dipilih menduduki kerusi juri tetap sambil ditemani seorang lagi selebriti jemputan sebagai juri undangan pada setiap minggu.







Ceria All Stars akan bersiaran selama 7 episod beserta dengan episod pengenalan. 20 peserta akan dibahagikan kepada 4 kumpulan di mana setiap kumpulan akan bertanding dalam satu episod. Pemenang setiap episod ditentukan sepenuhnya juri tetap dan akan mara ke pusingan separuh akhir, 1 Januari hadapan. Aksi-aksi terbaik akan layak ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 8 Januari 2016. Peringkat separuh akhir dan akhir akan disiarkan secara langsung khas untuk penonton-penonton di rumah.

Juara Ceria All Stars bakal membawa pulang hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM 20,000.00 beserta trofi sumbangan Astro. Naib juara pula bakal memenangi wang tunai sebanyak RM 15,000.00 beserta trofi. Tempat ketiga bakal meraih wang tunai RM 10,000.00 dan juga trofi. Manakala pemenang tempat keempat dan kelima pula masing-masing akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 5,000.00 dan RM 3,000.00 beserta trofi.

Ceria All Stars diaktifkan oleh Caliph Kids Expert dan diceriakan oleh Legoland. Episod pertama Ceria All Stars bakal bersiaran 20 November 2015 ini bermula jam 9.00 malam hanya di saluran 611, Astro Ceria.

You Might Also Like

0 comments

drop your comment here!

Like us on Facebook