Sejarah & Warisan Kuala Kangsar | Apa yang menarik?

6:50 pm


Negeri Perak ialah negeri kelahiran Ayah Ney. Dari kecil, Ayah banyak bercerita kisah sejarah dan warisan Negeri Perak pada Ney dan adik-adik. Salah satu daerah yang penuh dengan sejarah dan masih kekal warisan negara kita tentunya Bandar Diraja Kuala Kangsar.


Terletak kira-kira 48 kilometer ke utara dari Ipoh, Kuala Kangsar mendapat nama bersempena pokok kangsar yang tumbuh di tebing sungai dan juga terdapat versi mengatakan terdapatnya 99 anak sungai dan kurang 1 kepada seratus, iaitu melalui sebutan Kuala Kurang Sa.


Negeri Perak lahir daripada aliran air yang menebing di Sungai Perak dari puncaknya di Ulu Belum hinggalah ke muaranya di Selat Melaka. Dari zaman awal lagi orang tertarik dengan keistimewaan sungai ini lalu memudikinya sambil mencari tebing yang baik untuk mendarat kerana Kuala Kangsar sebenarnya ialah satu lokasi yang sangat strategik.


Sayong Resort Kuala Kangsar

Jika singgah ke Kuala Kangsar, antara lokasi kegemaran Ney untuk bermalam ialah Sayong Resort. Layanan staff yang mesra dan sangat membantu, bilik yang luas dan selesa serta makanan-makanan yang enak antara faktor Ney selalu bermalam di sini. Harga juga berpatutan tau? Teringat pula dulu kami bulan madu juga di Sayong Resort Kuala Kangsar. Baca artikel disini: http://www.ieyra.com/2018/09/honeymoon-di-sayong-resort-kuala-kangsar.html.


Sayong Resort Kuala Kangsar terletak bersebelahan dengan persisiran Sungai Perak dan ia merupakan antara penginapan yang dikenali dikalangan pelancong ke Kuala Kangsar. Terdapat 35 buah bilik dan 4 jenis penginapan iaitu Chalet, Bilik Superior, Bilik Deluxe dan Bilik Eksekutif di sini.

Banyak tarikan di sekitar Sayong Resort ni antaranya ialah Victoria Bridge, Istana Kenangan, Istana Iskandariah, Masjid Ubudiah, Masjid Kota Lama Kanan, Pusat Pembuatan Labu Sayong, Bengkel Pembuatan Tekad Tenun, Pokok Getah Tertua di Malaysia, River Cruise dan macam-macam lagi. Kalau malas nak fikir nak tour sendiri, boleh mintak Sayong Resort tolong arrangekan semua. Diorang ada pakej-pakej tour yang boleh di suggestkan pada korang. Jangan risau, staff Sayong Resort sangat friendly dan helpful.


Juadah tradisional D'Cafe Sayong Resort

Petang tu kami lepak di D'Cafe Sayong Resort dulu menikmati kuih muih tradisional yang ada. Antaranya tepek lelapa cicah sambal tumis, tepek pisang, dan putu perak. Tepek tu lempeng ya. Kalau kat Kedah, pek nga hahhaa! Memang sedap belaka kuih disini! Usai minum petang dan urusan check-in selesai, terus rehat kan badan dulu.



Warisan Seni Tarian, Nyanyian & Busana Melayu

Malam tu, ketika makan malam di Dewan Seri Ismail, kami dihidangkan dengan masakan kampung asli Perak dan juga persembahan kebudayaan dari Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Busana Melayu Kuala Kangsar. Menarik ya konsep macam kembali ke zaman silam yang penuh tradisi dan budaya yang dah lama kita tak lihat dan rasai sendiri. Syok juga layan nyanyian-nyanyian lagu tradisional melayu, dan dan tarian dari mereka.



Oh ya, untuk malam kedua pun, kami disajikan dengan persembahan rabana, seruling dan silat melayu. Terbaik usaha pihak Sayong Resort untuk bagi kami kenal dengan lebih mendalam tentang busana melayu dan seni tarian & nyanyian tradisional melayu kita.


Pekan Ahad Kuala Kangsar

Esoknya, pagi Ahad kami terus sarapan dan bersiap naik bot untuk menyeberangi sungai untuk ke Pekan Ahad atau Pasar Pagi Hujung Minggu Kuala Kangsar. Pekan Ahad ni terletak di hadapan Pesisir Sungai Pera dan bermula jam 7.00 pagi sehingga jam 1 Petang dan antara pasar pagi terbesar di Kuala Kangsar. Disini korang boleh membeli pelbagai barangan termasuk barangan antik, cincin, baju, makanan, ikan sungai dan macam-macam lagi.









Seronok tengok pelbagai jenis ikan sungai segar yang dijual sampai Ney tak kenal jenis ikan apa haha! Ulam-ulaman kampung pun banyak, ikan pekasam, ikan kering, ikan masin. Meriah! Jangan lepaskan peluang juga untuk membeli pelbagai kuih tradisional disini seperti kuih apom lenggang, apom tangkup, kuih dangai, putu perak dan macam-macam lagi. Meriah!



Tak puas lagi makan di Pekan Ahad, kami ke gerai di persisiran sungai pula untuk makan mee tulang dan cendol. Allahu, sedap ya rabbi mee tulang tu. Kuah pekat, isi daging banyak takdela tulang semata. Cendol lemak tak manis, tak masin. Perfect! Belum masuk tengah hari dah macam-macam makanan kami sumbat dalam perut.



Warisan Tekat Emas & Tempa Keris

Kami teruskan perjalanan ke rumah Hajjah Azizah Binti Mohd Yusof, perantis kraf warisan tekatan. Hajjah Azizah dah berumur 85 tahun, mula menjahit tekat benang emas dari umur 12 tahun. Bayangkan? Katanya, beliau serah jiwa dan raga untuk mempertahankan seni warisan tekatan ni. Memang lahir dalam keluarga yang mahir menekat dan beliau dah generasi keempat meneruskan legasi keluarga dalam seni tekatan, dan sekarang anaknya pulak mewarisi.



Benang emas disulam atau ditekat di atas kain baldu. Setiap ragam hias diisi dengan mempulur yang diperbuat daripada rotan sega atau kertas keras untuk menampakkan kesan timbul pada tekatan tersebut. Bukan senang ya nak menekat ni, kurang sabar betul NeyNey cuba hahahahahaa! Terima kasih Sayong Resort bawa kami jumpa dengan Adigiru Tekat Hajjah Azizah!



Lepas tu masing-masing seronok sebab Hajjah Azizah jemput kami kerumah dia untuk lihat lebih banyak hasil tekatan beliau. Wah wah apa lagi seronok la kami. Penuh satu rumah tu dengan tekat emas.  Ada jugak banyak aksesori zaman dulu kala, kasut tekat emas, bag tangan tekat. Macam-macam boleh buat rupanya Hajjah Azizah ni. Sangat berbakat! Lepastu kami  dihidangkan air oren untuk hilangkan dahaga, dan dan kerepek-kerepek tradisional. Makan lagi haha!


Dah selesai belajar tekat, kami ke bengkel besi berdekatan untuk belajar proses membuat keris. Satu-satunya pandai besi tempa keris paling lejen kat sini ialah Pak Mazin atau nama sebenarnya Abdul Mazin Bin Abdul Jamil yng mula belajar membuat keris dan pelbagai jenis senjata Melayu sejak 1960-an. Jangan tak tahu, Pak Mazin pernah diberi kepercayaan oleh Istana Negara untuk menghasilkan keris Hukum, satu daripada alat kebesaran bagi kegunaan adat istiadat pertabalan Tuanku Abdul Halim, Yang di-Pertuan Agong ke-14 tau!


Tahun 60-an dulu ada 30 pembuat senjata Melayu ini dan empat orang mahir membuat keris, tapi sekarang ini tinggal empat hingga enam orang saja yang mahir membuat senjata Melayu, keris pula tinggal Pak Mazin seorang saja. Alhamdulillah, ada nak Pak Mazin yang mewarisi bakatnya. Sayang kalau warisan negara kita ni dilupakan atau tiada pewaris kan?


Lokasi-lokasi menarik lain di Kuala Kangsar

Banyak juga tempat kami lawati sekitar pekan Kuala Kangsar ni antaranya Istana Kenangan, MCKK, Masjid Ihsaniah, Masjid Dataran Ubaidiah, Pavilion, Victoria Bridge dan sempat juga lihat pokok getah tertua di Malaysia yang berada di Kuala Kangsar ni. Banyak sejarah lama tentang bandar ni, yang boleh korang jelajah susur galurnya.


Tapi Ney paling suka pergi Victoria Bridge. Sangat insta-worthy! Jambatan Victoria, juga dikenali sebagai Jambatan Enggor adalah sebuah jambatan kereta api yang terletak di Enggor, Kuala Kangsar. Jambatan yang merentangi Sungai Perak ini mula dibina pada tahun 1897, dan merupakan antara jambatan kereta api tertua di Malaysia.

Sempat juga kami minum petang di Warung Telaga Kuala Kangsar, menikmati roti ouri cicah kuah sardin, laksa telur sarang, dan mee rebus. Tiga menu ni antara yang wajub cuba kalau singgah ke Kuala Kangsar. Ney tertarik dengan dekorasi warung ni yang penuh dengan barangan antik, dan di bahagian luar pula ada pondok untuk santai bersila minum2, berlatar belakangkan sawah padi. Sangat cantik!


Sukan Rakyat Sayong Resort

Si sebelah petang, kami bersiap terus untuk sukan rakyat pula yang diadakan di Sayong Resort, Kuala Kangsar. Kami dibahagikan kepada 4 kumpulan untuk berentap sesama kami.




Mengimbau kenangan zaman kanak-kanak bila masing-masing riang menjerit main boling buah kelapa untuk jatuhkan botol, tuju selipar jatuhkan tin kosong yang disusun seperti piramid, dan satu lagi kami main game asingkan kacang, beras, lada hitam dan bahan masakan lain dengan menggunakan nyiru. Fuh susah beb, team Ney kalah semua game hahaha!


Kraftangan Labu Sayong

Hari ketiga di Kuala Kangsar, kami berlajar tentang Kraftangan Labu Sayong pula. Kira-kira 90 peratus industri pembuatan tembikar labu sayong masih aktif di Kuala Kangsar. Industri diwarisi generasi kelima itu masih bersemangat untuk dikekalkan meskipun sebahagian besarnya dilakukan dengan teknologi canggih. Keistimewaan tanah sayong yang memiliki banyak khasiat memberi keupayaan industri itu untuk bertahan lama.Tanah sayong adalah anugerah yang diberikan Allah untuk penduduk di Mukim Sayong ini dan tidak dimiliki di mana-mana di dunia ini. Itulah istimewanya Mukim Sayong di Kuala Kangsar.



Tapi kali ni kami tak masuk ke kawasan kampung-kampung, sebab Sayong Resort sendiri dah ada Galeri Sayong yang diusahakan oleh Persatuan Kraftangan Labu Sayong (PKLS). Dekat sini, korang boleh tengok demonstrasi membuat labu sayong dan juga membeli hasil-hasil kraftangan labu sayong yang dah siap. Rugi kalah datang ke Kuala Kangsar, tapi tak bawa pulang labu sayong tau!



Balai Gambang Cempaka Sari River Cruise

Sempat juga hari terakhir tu, pihak Sayong Resort bawa kami semua menyusuri Sungai Perak dengan menaiki Balai Gambang Cempaka Sari River Cruise. Balai Gambang Cempaka Sari adalah pengangkutan pertabalan Sultan Perak sewaktu pertabalan tuanku Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.


Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 40 minit ini akan membawa korang meniti kenangan dan sejarah kesultanan Melayu Perak di sepanjang laluan di Sg. Perak ini. Harga tiket RM15 untuk dewasa, dan RM10 untuk kanak-kanak.

Terima kasih untuk Sayong Resort, bawa kami untuk kenal lebih mendalam tentang sajin tradisi, sejarah & warisan yang ada di Kuala Kangsar. Sedihnya, generasi sekarang semakin melupakan warisan negara yang ada. Hilang minat, tiada pendedahan awal dan sikap lebih mengagungkan budaya luar dianggap penyumbang ke arah kepupusan warisan kita. Padahal, sejarah lama itulah yang memberi kehidupan kita pada hari ini. Harap lebih ramai peka dan cakna tentang sajian tradisi, sejarah & warisan negara.


You Might Also Like

0 comments

drop your comment here!

Like us on Facebook