8 Langkah Jimat Untuk Mencuci Penyaman Udara Sendiri
4:29 am
Penyaman udara yang berada dalam keadaan optimum akan dapat
memberi faedah kepada pemilik rumah dalam mewujudkan suhu yang nyaman didalam
rumah. Akan tetapi, jika penyaman udara itu tidak diselenggara dan diservis
secara berkala, ia akan menyebabkan berlakunya pencemaran udara di dalam rumah.
Kuman dan kulat boleh membiak di dalam unit penyaman udara,
dan bau hapak akan mulai tersebar ke seluruh rumah. Habuk atau kotoran yang
tidak dicuci akan menyebabkan unit penyaman udara itu menggunakan lebih tenaga
elektrik untuk berfungsi seperti biasa dan akhirnya akan menyebabkan kenaikan
bil elektrik bulanan di rumah anda.
Jadi bagi memastikan penyaman udara anda sentiasa berfungsi
dengan baik, berikut adalah beberapa langkah mudah yang anda boleh lakukan
sendiri di rumah untuk mencuci unit penyaman udara di rumah anda.
1. Matikan semua suis
Sebelum anda memulakan sebarang kerja,pastikan tiada arus
elektrik yang mengalir ke unit penyaman udara anda. Ini bermaksud, anda bukan
sahaja perlu menekan butang ‘OFF’ pada alat kawalan jauh, tetapi anda harus
matikan suis utama yang bersambung dengan unit penyaman udara tersebut.
2. Cuci penapis udara pada unit dalaman
Buka unit dalaman (indoor
unit) dan keluarkan penapis udara. Kebiasaannya, setiap unit dalaman
penyaman udara dengan 1HP dan 2HP akan datang dengan dua keping penapis udara.
Gunakan berus kasar dan air untuk mencuci semua habuk yang terkumpul pada
penapis udara tadi, dan jemurkan sehingga kering.
3. Cuci sirip pengawal arah angin
Sesetengah jenis unit penyaman udara mempunyai sirip
pengawal arah angin yang boleh di cabut dan ada juga yang tidak boleh dicabut.
Cuci sirip tersebut dengan menggunakan kain basah dan biarkan kering.
4. Cuci bilah berputar (rotary blade).
Apabila penapis udara dan sirip pengawal arah udara sudah
dicabut, bahagian rotary blade akan
kelihatan. Gunakan berus kasar atau berus dawai untuk mencuci segala kotoran
dan habuk yang terperangkap pada rotary
blade tersebut sehingga bersih.
5. Cuci sirip nipis dan bahagian lain pada unit
dalaman.
Kemudian, dengan menggunakan berus dan kain basah, cuci
sirip nipis yang kelihatan dan semua bahagian lain yang kelihatan berhabuk pada
unit dalaman anda. Walau bagaimanapun, pastikan anda tidak membuka sebarang
skru. Dikhuatiri jika anda membuka mana-mana skru, jaminan atau warranty untuk alat penyaman udara anda
akan terbatal.
6. Sedut habuk dengan alat penyedut hampagas.
Setelah semua bahagian tadi telah siap dibersihkan, gunakan
alat penyedut hampagas untuk menyebut semua saki-baki habuk yang tertinggal
pada unit penyaman udara tadi.
7. Pasang semua bahagian yang sudah kering.
Apabila penapis udara dan sirip pengawal arah angin yang
dicuci tadi sudah kering, pasangkan semula pada unit dalaman tadi dengan baik.
Pastikan ianya kembali seperti asal.
8. Hidupkan suis dan gunakan seperti biasa.
Yang terakhir sekali, hidupkan balik semua suis yang
berkaitan dan tekan butang ‘ON’ pada alat kawalan jauh. Biarkan penyaman udara
anda terpasang untuk 15 hingga 30 minit dan nikmati udara yang nyaman.
Jika anda telah cuba lapan langkah mudah di atas, tetapi
alat penyaman udara anda masih tidak berfungsi seperti biasa, besar kemungkinan
terdapat kerosakan lain pada unit penyaman udara itu. Dapatkan khidmat daripada pakar penyaman udara untuk
periksa, servis dan baiki unit penyaman udara anda secara menyeluruh.
Recommend.my
mempunyai lebih 100 pakar penyaman udara di seluruh Lembah Klang dan Malaysia
sedia untuk membantu anda.
0 comments
drop your comment here!