Filem PEKAK: Adakah masyarakat kita semakin pekak?

10:30 pm



Baru-baru ini kecoh isu filem Pekak yang tidak boleh diterima ramai. Saya telah diundang untuk menonton filem PEKAK ini pada 25 Ogos yang lalu di Malam Gala #PEK4K tajaan Grand Brilliance. Ya, saya sudah tonton filem ini sebelum korang semua tonton filem ini yang mula ditayangkan kepada umum 1 September yang lalu. Sebelum saya teruskan penulisan ni, saya nak bagitahu siap-siap, saya TIDAK dibayar untuk menonton filem itu, untuk review atau untuk menulis penulisan ini. Tidak. Entri ini ditulis dengan ikhlas dan atas dasar saya rasa cukup sedih melihat masyarakat kita berbalah hanya sebab filem PEKAK ini.

Saya mula dihujani dengan private message oleh strangers yang tidak pernah friend dengan saya di Facebook, tentang filem PEKAK ini. Rata-ratanya mesej negatif tentang filem ini. Ahh, pelik juga kenapa perlu provok saya tentang filem ini hanya disebabkan saya sudah menonton?



Mari saya review dulu apa yang sudah saya tonton. Filem PEKAK ini sebenarnya ialah sebuah filem cinta yang diarahkan oleh Mohd Khairul Azri Md Noor dan menampilkan pelakon-pelakon berbakat besar seperti Zahiril Adzim, Sharifah Amani, Iedil Putra, Sharifah Sakinah, Amerul Affendi, Joe Flizzow dan Zaidi Omar. Aduh, mana mungkin saya lepaskan peluang menonton filem ni kalau ada nama Zahiril Adzim, Sharifah Amani atau Amerul Affendi. Tiga nama yang saya tahu bakat mereka besar. Filem ini merupakan filem pertama Mohd Khairul Azri Md Noor dan mengisahkan tentang seorang pengedar dadah bernama Uda (Zahiril Adzim) yang cacat pendengaran. Uda mempunyai impian dan cita-cita untuk kembali mendengar, dimana dia akhirnya terjerumus dalam aktiviti penjualan dadah bagi menampung pembiayaan implan kokleanya. Takdir Tuhan, Uda bertemu dengan Dara (Sharifah Amani), seorang pelajar sekolah bermasalah yang ingin melarikan diri daripada bapanya yang terlalu mengongkong. Ah, biasalah semua budak remaja sentiasa mahukan kebebasan kononnya. Tapi, hubungan mereka mula menerbitkan bibit-bibit cinta di antara Uda dan Dara, namun mereka ni semua perlu menghadapi pelbagai rintangan dan dugaan dalam kehidupan yang dipenuhi dengan dadah, seks bebas, dan macam-macam lagi.


Dengan kehidupan sebagai pengedar dadah, tinggal di rumah pangsa usang berjirankan pasangan yang bermasalah dan suka berbalah, Uda tetap tenang menjalani kehidupan seharian sambil ditemani alunan lagu Rintihan Hati hasil nyanyian Othman Hamzah setiap hari meskipun dia tidak boleh mendengar. Dara, yang sudah kehilangan ibu dan kekurangan kasih sayang oleh si bapa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pula sentiasa hidup dalam kesunyian dan cuba mencari keseronokkan hidup hasil dorongan Melur, rakan baiknya yang sentiasa keluar bersama teman lelakinya, Azman Picasso. Dalam masa yang sama, saudara Azman, si Kamil menaruh hati pada Dara dan cuba untuk meniduri Dara namun sentiasa tidak berjaya. Ah, lemah kamu Kamil! Lemah! Namun pelbagai masalah yang lebih berat yang perlu Uda dan Dara hadapi.....eh tengok lah sendiri apa ending nya nanti di pawagam!

Ya, memang filem ini penuh dengan aksi ghairah, mendebarkan, dan mengejutkan. Aktiviti menghisap dadah, seks bebas, ponteng sekolah, merokok dan masalah-masalah sosial yang lain ditunjukkan dalam filem ini. Saya akui, filem ini tidak cukup halal untuk dijadikan rujukan anak-anak muda kalau kita cuma pandang sisi filem ini sebelah bahagian sahaja. Ada pengajaran yang perlu kita belajar dan terus mendalami sesuatu dari filem ini. Saya percaya itu juga yang cuba disampaikan oleh Mohd Khairul Azri Md Noor sebagai pengarah filem ini. Karakter Uda, si pekak yang cuba menikmati indah bising di tepi landasan keretapi cukup untuk mewakilkan mana-mana insan pekak diluar sana. Apa selama ini kita faham apa mereka lalui dan rasa? Selama ini, adakah kita pernah cuba mendalami dan terus ke dalam dunia pekak atau selama ini kita cuma lihat mereka sebagai seorang insan pekak yang tidak boleh mendengar?


Bingit bunyi parti di rumah Kamil, bingit mulut Azman ketika high dengan dadah, atau bingit landasan kereta api, mana satu yang cuba disampaikan dalam filem Pekak ini? Ah, bingit mana pun ada ke masyarakat kita faham dan dengar, bingit mana yang sebenarnya perlu kita ambil kira? Aktiviti seks bebas, tipu ibu bapa untuk keluar berlibur bersama teman lelaki, penagih dadah yang gersang untuk menikmati seks, setiap lakonan dalam filem ini cuba untuk menyampaikan sesuatu, tapi masyarakat kita masih gagal untuk mendengar. Terus pekak dan pekak!

Di garis masa Facebook dan Twitter saya lihat kecoh memperkatakan tentang filem ini yang telah dibanned oleh kerajaan Brunei. Dan seperti biasa, sebagai rakyat Malaysia yang mudah melatah, mereka terus menyokong tanpa menonton dahulu filem ini. Ada yang memberi komen, mereka terus keluar dari panggung dan mengigil menahan amarah diri selepas menonton 30 minit babak pertama filem ini dan tidak tahan dengan unsur-unsur tidak patut di tonton. Adakah mereka sedar, ini bermakna filem Pekak berjaya menyampaikan pesanan yang perlu disampaikan? Reaksi golongan seperti ini sudah cukup untuk menggambarkan siapa masyarakat kita sekarang. Mereka antara golongan masyarakat yang masih belum berani untuk menerima tamparan hebat seperti ini. Yang masih belum bersedia menerima satu mesej berat untuk dihadam. Mudah melatah, menghukum dan memberi pandangan tanpa meneliti sesuatu. Bangkit! Ini realiti, realiti hidup yang tidak pernah kita lalui, atau rasa dalam kehidupan kita. Dan ini realiti yang cuba disampaikan dalam filem ini tapi kita gagal untuk mendalami permasalahan ini. Sampai bila masyarakat mahu terus tidur dan jadi pekak?


Sedih, apabila saya melihat peti mesej saya semalam, masih ada yang bertanya, "Adegan berahi Sharifah Amani itu nampak macam real ke?" atau ayat provokasi seperti "Esok lusa kena kecam la tu percayalah". Aduh, bila saya bertanya jika dia sudah menonton atau tidak, nyata yang mengecam itu sudah menonton filem ini atau tidak, nyata mereka masih belum berkesempatan untuk menonton. Satu pihak lagi pula tanam impian untuk menonton hanya kerana aksi ghairah Sharifah Amani. Aduh. Sakit masyarakat kita zaman ini. 

Ingat, industri filem kita suatu masa dahulu pernah menghasilkan filem-filem yang lantang dan berkualiti seperti Perempuan, Isteri & Jalang pada tahun 1993. Cuma masyarakat sekarang seakan tidak boleh untuk menerima filem lantang bersuara seperti ini. Yang jujur, dan berani telus ke hati. Eh, atau mereka terasa yang filem ini memang betul sampai ke hati? Filem PEKAK, filem yang merungkaikan perihal realiti pahit yang mungkin ada sebaik kita melepaskan anak-anak kita ke sekolah atau kita menutup pintu tatkala melihat anak-anak kita tidur di bilik. Filem yang berjaya memukul rentak kemanusiaan dengan memaparkan penamatan hukum karma.


Sinematografi bagi filem PEKAK terlalu indah, biarpun cuma latar belakangnya hanya di kawasan flat berkos rendah, hutan semak dan landasan keretapi juga dengan seni lukisan abstrak dan grafitti di dinding. Digarap dengan elemen sinis dan kejutan kita melihat seorang pekak yang kelihatan tidak berdosa dan naif, rupa-rupanya seorang pengedar dadah. Seorang anak dara yang pandai mengajar membaca Al-Quran, rupanya syaitan perosak yang menghasut anak gadis yang lain. Dan mana mungkin kita sangka rupanya pengedar dadah pekak itu sebenarnya hero dalam cerita yang berat ini?

Mesej kesan-akibat yang disampaikan tetap berjaya untuk mengacau jiwa penonton tentang betapa ruginya manusia yang bergaul dengan manusia yang negatif. Sekali bila kita terjerumus dan jatuh ke dalam dunia ini, maka sangat sukar untuk kita keluar. Bayang-bayang kejahatan akan sentiasa memburu sesiapa sahaja yang pernah masuk ke dunia gelap itu. Terlalu ramai Uda, Dara, Kamil, Melur dan Azman Picasso di luar sana. Cuma mungkin kalian belum bertemu dengan mereka. Mungkin antara mereka tidak perlukan pertolongan, tetapi percayalah mereka sentiasa inginkan apa yang mereka tidak ada; kasih sayang, perhatian atau mungkin mereka cuma mahu kita mendengar. Ingat, Dara ada meluahkan di catatan nya; "Dara nak Abah dengar Dara. Kalau Uda yang pekak pun boleh dengar, kenapa Abah tak nak dengar Dara?"


Ini bukan kisah cinta khayalan disaluti gula kemanisan oleh Uda dan Dara yang biasa-biasa. Bukan juga sekadar kebisuan yang dicampak ke dalam semua karya untuk dipertontonkan umum. Tidak. Ini karya yang punya jalan cerita dan lakon layar yang berbeda. Karya yang mendakwahkan tentang pergelutan hidup pasangan Uda dan Dara yang mungkin, kita tidak pernah lalui sehari-hari tapi bingit kehidupan itulah yang dilalui oleh mereka yang perlu kita dengari. Dari bingit landasan kereta api, kita boleh dengar suara hati Uda. Dengan bingit tangisan dan jeritan catatatn Dara, kita boleh dengar suara jiwa Dara. Mengalirnya airmata saya ketika menonton filem berkualiti seperti ini, kerana saya sedar kadang kala saya juga masih bisu dan pekak dalam kehidupan saya sendiri. Tiada siapa siapa akan faham bagaimana, mengapa, apa dan siapa sesuatu itu terjadi. Kalian perlu terus dengar suara mereka, jangan jadi masyarakat yang semakin pekak dalam dunia kalian sendiri. 


 

Filem Pekak terbitan Grand Brilliance dan Lightbulb Pictures melakar kejayaan awal apabila merangkul dua anugerah utama pada International Motivational Film Festival - Bridge of Arts 2016 (IMF) di Russia. Anugerah terbabit diraih menerusi lakonan Zahiril Adzim dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik, manakala naskhah tulisan pengarahnya sendiri, Mohd Khairul Azri Md Noor pula dinobatkan sebagai Skrip Terbaik pada festival yang berlangsung di Restv-on-Don, Russia. Filem ini juga pernah dicalonkan pada World Premiere Film Festival Philippines,dan telah dipilih secara rasmi oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk tayangan di Marche du Film 2016, iaitu acara pasaran filem terbesar di Cannes, Perancis. 



You Might Also Like

7 comments

  1. Pisyek kene gi tengok la nih. Tak sempat lagi nak pegi tengok. Hurm.

    ReplyDelete
  2. wauuu macam best je... kene tengok ni...

    ReplyDelete
  3. It was a good movie! membuka mata kita yg selama ni mungkin tak peka dgn golongan yg bukan dalam circle kita. So sad actually :(

    Btw ost cerita ni semua best! Views Othman Hamzah- Rintihan Hati kat youtube makin lama makin naik haha 👍

    ReplyDelete
  4. Nak bg kesedaran ..banyak cara. X sokong dengan paparan yg cukup jelas memudaratkan.

    ReplyDelete
  5. Inilah filem Melayu yang paling terBODoh penah saya tonton.
    Menyesal bawak isteri dan anak2 malam tu
    Tobat makdatuk

    ReplyDelete
  6. Inilah filem Melayu yang paling terBODoh penah saya tonton.
    Menyesal bawak isteri dan anak2 malam tu
    Tobat makdatuk

    ReplyDelete
  7. Nice review.👍👍👍

    ReplyDelete

drop your comment here!

Like us on Facebook