8 Langkah Jimat Untuk Mencuci Penyaman Udara Sendiri

4:29 am



Penyaman udara yang berada dalam keadaan optimum akan dapat memberi faedah kepada pemilik rumah dalam mewujudkan suhu yang nyaman didalam rumah. Akan tetapi, jika penyaman udara itu tidak diselenggara dan diservis secara berkala, ia akan menyebabkan berlakunya pencemaran udara di dalam rumah.

Kuman dan kulat boleh membiak di dalam unit penyaman udara, dan bau hapak akan mulai tersebar ke seluruh rumah. Habuk atau kotoran yang tidak dicuci akan menyebabkan unit penyaman udara itu menggunakan lebih tenaga elektrik untuk berfungsi seperti biasa dan akhirnya akan menyebabkan kenaikan bil elektrik bulanan di rumah anda.

Jadi bagi memastikan penyaman udara anda sentiasa berfungsi dengan baik, berikut adalah beberapa langkah mudah yang anda boleh lakukan sendiri di rumah untuk mencuci unit penyaman udara di rumah anda.


1. Matikan semua suis

Sebelum anda memulakan sebarang kerja,pastikan tiada arus elektrik yang mengalir ke unit penyaman udara anda. Ini bermaksud, anda bukan sahaja perlu menekan butang ‘OFF’ pada alat kawalan jauh, tetapi anda harus matikan suis utama yang bersambung dengan unit penyaman udara tersebut.

2. Cuci penapis udara pada unit dalaman

Buka unit dalaman (indoor unit) dan keluarkan penapis udara. Kebiasaannya, setiap unit dalaman penyaman udara dengan 1HP dan 2HP akan datang dengan dua keping penapis udara. Gunakan berus kasar dan air untuk mencuci semua habuk yang terkumpul pada penapis udara tadi, dan jemurkan sehingga kering.


3. Cuci sirip pengawal arah angin

Sesetengah jenis unit penyaman udara mempunyai sirip pengawal arah angin yang boleh di cabut dan ada juga yang tidak boleh dicabut. Cuci sirip tersebut dengan menggunakan kain basah dan biarkan kering.




4. Cuci bilah berputar (rotary blade).  

Apabila penapis udara dan sirip pengawal arah udara sudah dicabut, bahagian rotary blade akan kelihatan. Gunakan berus kasar atau berus dawai untuk mencuci segala kotoran dan habuk yang terperangkap pada rotary blade tersebut sehingga bersih.



5. Cuci sirip nipis dan bahagian lain pada unit dalaman.

Kemudian, dengan menggunakan berus dan kain basah, cuci sirip nipis yang kelihatan dan semua bahagian lain yang kelihatan berhabuk pada unit dalaman anda. Walau bagaimanapun, pastikan anda tidak membuka sebarang skru. Dikhuatiri jika anda membuka mana-mana skru, jaminan atau warranty untuk alat penyaman udara anda akan terbatal.


6. Sedut habuk dengan alat penyedut hampagas.

Setelah semua bahagian tadi telah siap dibersihkan, gunakan alat penyedut hampagas untuk menyebut semua saki-baki habuk yang tertinggal pada unit penyaman udara tadi.

7. Pasang semua bahagian yang sudah kering.

Apabila penapis udara dan sirip pengawal arah angin yang dicuci tadi sudah kering, pasangkan semula pada unit dalaman tadi dengan baik. Pastikan ianya kembali seperti asal.

8. Hidupkan suis dan gunakan seperti biasa.

Yang terakhir sekali, hidupkan balik semua suis yang berkaitan dan tekan butang ‘ON’ pada alat kawalan jauh. Biarkan penyaman udara anda terpasang untuk 15 hingga 30 minit dan nikmati udara yang nyaman.


Jika anda telah cuba lapan langkah mudah di atas, tetapi alat penyaman udara anda masih tidak berfungsi seperti biasa, besar kemungkinan terdapat kerosakan lain pada unit penyaman udara itu. Dapatkan khidmat daripada pakar penyaman udara untuk periksa, servis dan baiki unit penyaman udara anda secara menyeluruh.


Recommend.my mempunyai lebih 100 pakar penyaman udara di seluruh Lembah Klang dan Malaysia sedia untuk membantu anda.

You Might Also Like

0 comments

drop your comment here!

Like us on Facebook