20 Destinasi Menarik Sepanjang Jalan Persekutuan Menghala Ke Utara

11:14 am

 

Selepas pulang trip dari Penang ke Phuket, Ney bergegas kemas backpack. Eh kemana? Hahhhhhh Ney ikut trip Jelajah FTRoadpedia Zon Utara anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia. Merentasi 5 buah negeri di sebelah utara Semenanjung Malaysia, iaitu dari Kuala Lumpur ke Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis melalui Jalan Persekutuan. Memang ulang alik utara je Ney ni! Jalan Persekutuan merupakan jalan utama tetapi orang ramai selalu menganggap Jalan Persekutuan ialah jalan lama atau jalan kampung.

FTRoadpedia bermaksud Jelajah Bermaklumat melalui jalan-jalan persekutuan (Federal Trunk Road). Ramai tidak sedar bahawasanya melalui Jalan Persekutuan lebih menarik berbanding melalui jalan alternatif atau lebuhraya. Memandangkan kampung nenek saya di Kampar, Perak, Ayah sejak dulu lagi memang gemar melalui Jalan Persekutuan. Jujurnya, saya pun tak tahu jalan kampung yang selama ni Ayah lalui untuk kami pulang beraya di kampung rupa-rupanya jalan utama atau jalan persekutuan. Haha! Saya juga lebih gemar melalui jalan-jalan persekutuan kerana menyusuri kampung, hutan dan pecan-pekan luar Bandar yang menyeronokkan suasana perjalanan. Makan, lawat, rehat dan rawat komponen jelajah FTRoadpedia kali ini. Apa destinasi menarik wajib pergi sepanjang Jalan Persekutuan menghala ke utara? Hah saya senaraikan apa yang saya sempat singgah dan lalui:


.


1. Roti Mokhtar, Slim River

Melalui Jalan Persekutuan Tg Malim – Kampar FT001, kami berhenti di Slim River dan mencuba Roti Mokhtar. Roti Mokhtar sangat istimewa di hati penduduk Slim River kerana rotinya dibakar dengan menggunakan ketuhar batu-bata. Aroma, dan rasa Roti Mokhtar sangat berlainan dan sedap membuatkan pelanggan beratur panjang di tepi jalan, berkunjung ke kilang, semata-mata demi roti panas yang baru keluar dari ketuhar. Kilang Roti Mokhtar beroperasi seawall pagi hingga jam 2 petang tetap kalau cepat habis, cepat lah tutup operasi hari tersebut. Pelbagai jenis roti dihasilkan antaranya roti bun kacang, kaya, kelapa, dan banyak lagi. Menariknya, harga yang ditawarkan juga sangat murah!

Destinasi menarik yang lain sepanjang laluan persekutuan Kuala Lumpur – Tg Malim - Kampar FT01: Air Terjun Serendah, Kg Air Panas Kerling, Taman Rimba Templer, Pau Yik Mun, Bandar Raya Proton, Kolam Air Panas Sungai Klah, Ladang Ternakan Rusa, Hutan Rekreasi Kuala Woh. 

 

2. RTC Gopeng 



Melalui Pekan Kampar di Sek.558.60 iaitu kampung halaman saya, kami meneruskan perjalanan hingga ke hentian seterusnya iaitu RTC Gopeng di Sek. 580.00. Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak yang terletak di Gopeng menyediakan pelbagai perkhidmatan kerajaan, swasta dan aktiviti perniagaan untuk kemudahan orang ramai berurusan di sini. Di samping itu, fasiliti yang disediakan juga adalah bersesuaian bagi kemudahan seisi keluarga berkunjung ke RTC Perak. Pasaraya Mydin Mall yang menjual barangan runcit dan borong serta pelbagai barangan keperluan harian juga ada di sini. AgroBazaar iaitu pusat jualan produk pertanian & asas tani juga ada di RTC Gopeng ini dan menjual sayur-sayuran, buah-buahan. Ayam, daging, hasil laut, dan banyak lagi. Pada setiap hari Sabtu pula, terdapat aktiviti Pasar Lokken / Karat yang menjual pelbagai barangan antik, barangan terpakai dan banyak lagi bermula dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang.

Destinasi menarik yang lain sepanjang laluan Tapah - Kuala Kangsar FT001: Tanjung Tualang, My Gopeng Resort, Gaharu Tea Valley, Taman Herba Perak, Kellie's Castle, Eco-Park, Bandaraya Ipoh, Lost World of Tambun, Taman Rekreasi Gunung Lang, Masjid Cina.



3. Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah, Kuala Kangsar

Merupakan salah satu dari empat jambatan utama di Kuala Kangsar yang menyeberangi Sungai Perak. Jambatan yang menghubungkan pekan Kuala Kangsar dengan Kampung Sayong ini dibuka secara rasmi oleh DYMM Seri Paduka Sultan Azlan pada bulan Jun 2002. Jaraknya 330 meter, ia memudahkan perjalanan harian antara penduduk di Sayong dan kampung-kampung di sekitarnya yang mahu menjalankan aktiviti harian di Pekan Kuala Kangsar. Sebelum jambatan ini dibina, penduduk di seberang sungai menggunakan perkhidmatan bot penambang bagi menyeberangi Sungai Perak. Sebelum ni, kalau penduduk disitu nak menyeberangi sungai menggunakan kereta, mereka kena guna Jambatan Sultan Iskandar di KM 639. 

Destinasi menarik yang lain sepanjang laluan persekutuan Kuala Kangsar FT001: Terowong Kereta Api Bukit Berapit "Lubang Gelap", gerai Laksa Telur Bersarang Pokok Limau.

 

4. Masjid Ubudiah, Bukit Chandan

Masjid Ubudiah, terletak lebih kurang 1KM dari Bandar Kuala Kangsar dan FT001 KM 645 merupakan masjid tercantik di Malaysia terletak di atas Bukit Chandan. Ubudiah bermaksud pengabdian kepada Allah yang Maha Agung. Reka bentuk masjid oleh Kolonel Huxley, dari Jabatan Kerja Raya dan unsur-unsur seni bina 'Moor' diterapkan. Tuan Caulfield, Jurutera Negeri ketika itu ditugaskan untuk proses pembinaan bermula tahun 1913 dan siap.pada tahun 1917 dengan kos $189,000. Tahun 1993, masjid ini diubahusai untuk menambah keluasannya oleh JKR Negeri dengan kos RM2.9jutadan dapat menampung sehingga 2,300 jemaah. Tahun 2002, pemuliharaan masjid dilaksanakan oleh 9 orang kontraktor berlainan dengan kos RM4.8juta.

Destinasi menarik yang lain sepanjang laluan persekutuan Kuala Kangsar - Taiping FT001: Muzium Diraja Kuala Kangsar, Makam Long Jaafar, Pasar Sari Changkat Jering, Jeti Kelip kelip Kamoung Dew, Taman Tasik Taiping, Bukit Larut, Muzium Perak, Kuala Gula Bird Santuary, Ban Pecah, Bukit Merah Lake Town, Mercu Tanda Parit Buntar.



5. Kuih Serabai Kuah Durian & Mee Rebus, Parit Buntar

Ketika melalui Laluan Persekutuan FT001, kami singgah ke SMK Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar, Perak untuk lawatan tapak membaikpulih sekolah ni untuk mengatasi masalah banjir berterusan. Masa kat kantin sekolah tu terhidang pulak Kuih Serabai Kuah Durian dan Mee Rebus Parit Buntar. Aduhai kecur air liur. Kuih serabai memang lembut, ringan dicicah pula dengan kuah durian yang wangi baunya memang membuka selera. Menu lain ialah mee rebus yang memang sedap, meriah dengan segala khazanah dalam kuahnya yang pekat memang terasa keledek dan udan kering dalam kuah. Katanya di Parit Buntar ni, Mee Rebus Balak Inn cukup popular dengan keenakkan nya?

 


6. Restoran & Hotel Pen Mutiara, Pulau Pinang

Orang di Penang selalu cakap, Restoran Pen Mutiara di Pulau Pinang ni memang terbaik. Dengan suasana sunset yang cantik menghadap laut di sini, romantik je rasa kalau makan disini. Eh eh. Haha! Tempat yang sangat ekslusif, dan menyajikan makanan yang sedap, lazat, hingga menjilat jari. Apa agaknya yang saya makan disini?





   

Haaaaaaa.....tudiaaaaa banyaknya kami makan! Dari Udang Celup Tepung sumpah sedap gila sampailah Kari Kepala Ikan yang memang awesome. Pulau Pinang kan terkenal dengan kari kepala ikan? So memang berbaloi makan kari kepala ikan disini. Menu lain kami makan malam tu ialah Siakap Masak 3 Rasa, Kerabu Mangga, Telur Bistik, dan Udang Masak Sambal. Lagi seronok, masa ni ada buffet buah-buahan tempatan. Durian Balik Pulau sedap baq hang! Ada buah mata kucing, manggis dan lain-lain. Puas hati! 

Perkara menarik yang lain sepanjang laluan persekutuan Pulau Pinang FT001 hingga FT006: Kedai Jualan Buah-Buahan, Masjid Daerah Barat Daya, Bulatan Balik Pulau, Air Terjun Titi Kerawang, Penang Tropikal Fruitsfarm. 


7. Taman Rama-Rama Entopia, Pulau Pinang.

Terletak di Sek. 51.00 laluan FT006, Entopia dahulunya dikenali sebagai Taman Rama-Rama Pulau Pinang yang merupakan satu dari tempat percutian bersama keluarga. Disini, terdapat pelbagai jenis spesis rama-rama dan pelbagai jenis serangga yang lain yang dipamerkan kepada pengunjung yang hadir.



Perkara menarik yang lain sepanjang laluan persekutuan Pulau Pinang FT006: Escape Park Teluk Bahang, Tropical Spice Garden, Pasar Malam Batu Feringghi, Bayu Senja, Pantai Miami, Pantai Shamrock, Masjid Terapung Tanjung Bungah. 


8. Hotel Vistana, Bukit Jambul. 

Kami berhenti seketika jelajah ini dan berehat di Hotel Vistana Bukit Jambul, Pulau Pinang. Bilik sangat luas, selesa dan ada bantal 6 bijik woi! Gila lena malam tu tenggelam hanyut lena dibuai mimpi. Hotel Vistana Bukit Jambul, Pulau Pinang ni memang puas hati untuk berehat seisi keluarga, dan bilik disini harga serendah RM 236.70 kalau di dalam Traveloka.  




9. Padang Kota Lama, George Town

Tak  lengkap rasanya kalau tidak ke Padang Kota Lama jika ke Pulau Pinang. Padang Kota menghadap ke arah laut. Dari Padang Kota , pengunjung dapat melihat Jambatan Pulau Pinang yang menghubungkan kawasan pulau ke tanah besar dengan jelas dan juga feri Pulau Pinang berselisih membawa penumpang dan kenderaan dari Pangkalan Sultan Abdul Halim ke Pangkalan Raja Tun Uda. Di Padang Kota Lama, terdapat bangunan bersejarah yang dikenali sebagai Fort Cornwallis. Kapten SHTI Francis Light telah mengibarkan bendera Union Jack di Kota Cornwallis . Kubu pertahanan dibina di Padang Kota Lama dan beberapa buah meriam di sini masih dapat dilihat dengan jelas. Walaupun British tidak lagi menjadi pentadbir di Pulau Pinang, tetapi legasi British dapat dilihat jelas sekitar Padang Kota.

 

  
Padang kota sering menjadi tumpuan pelancong dan penduduk yang inginkan ketenangan dan menikmati makanan popular Pulau Pinang iaitu nasi kandar ,pasembor, cendol dan juga laksa. Kebanyakan pengunjung Padang Kota gemar untuk melepak di tembok benteng laut untuk merasai angin bertiup sambil bersantai. Benteng dibina di tepi laut bagi menghalang hakisan ombak . Walaubagaimanapun, disebabkan keadaan air laut yang tidak dapat dijangka di tebing padang kota, pengunjung tidak berani untuk mandi. Ia boleh menjadi pasang secara tiba-tiba dan berbahaya. Semasa Tsunami pada tahun 2004, air laut di sini telah melepasi benteng dan menyebabkan air melimpah ke luar. Oh ya, Town City Hall atau Majlis Bandaran Pulau Pinang juga disini!
 

10. Tugu Peringatan Cenotaph, George Town


Tugu Peringatan Cenotaph dibina pada tahun 1948 ini terletak di Padang Kota Lama, Penang. Tugu ini dibina untuk memperingati pahlawan yang telah terkorban dalam Perang Dunia Pertama, Kedua dan semasa Darurat.


  

11. Menara Jam Besar Sungai Petani, Kedah

Menara Jam Besar Sg Petani ini dibina pada tahun 1910 dan siap pada tahun 1936 menggunakan tenaga manusia sepenuhnya. Tujuan pembinaannya adalah untuk memperingati King George V yang memerintah England dan pemerintah empayar British pada masa itu. Keistimewaan jam ini adalah ia akan berbunyi setiap tiba waktu nya. Nak tahu bunyi macam mana, kenalah datang ke sini. Pada waktu malam pula, jam ini akan disinari lampu lampu yang cantik. 


12. Daerah Kuala Muda, Kedah

Daerah Kuala Muda, yang berkeluasan 92,835.39 hektar terletak di bahagian tengah Negeri Kedah, dengan jarak kira-kira 40KM di selatan Bandaraya Alor Setar. Bersempadan dengan Daerah Yan dan Daerah Pendang di sebelah utara, Daerah Sik dan Daerah Baling di sebelah Timur, serta Daerah Perai Utara dan Daerah Kulim di bahagian Selatan. Di Daerah Kuala Muda, Kedah terdapat 9 batang jalan persekutuan yang menjadi jalan utama di daerah ini. Yang bestnya sepanjang laluan FT001 disini, korang akan terpesona dengan pemandangan sawah padi sepanjang perjalanan.  

Destinasi menarik yang lain sepanjang laluan persekutuan Butterworth - Sg Petani - Alor Setar FT001: Pantai Merdeka, Tanjung Dawai, Tapak Arkeologi Sungai Batu, Muzium Arkeologi Lembah Bujang.



13. Peranginan Gunug Jerai, Yan

Perjalanan dari Sungai Petani ke Alor Setar melalui FT001 akan menemukan kita dengan Gunung Jerai yang merupakan Gunung tertinggi di negeri Kedah. Ia merupakan tempat rekreasi utama yang terletak di KM 821.70 FT001 Daerah Yan, Kedah. Antara yang menariknya di Gunung jerai ialah Air Terjun Putri mandi yang terletak di kaki gunung. Pemandangan yang cukup cantik, lokasi riadah yang cukup popular di kalangan penduduk setempat sebagai tempat untuk jungle trekking. Ya la nak sampai ke air terjun ni perlu mendaki lebih kurang 3KM, melalui trek yang agak mencabar dalam masa 40 minit. Di puncak gunung pula Telaga Tok Syeikh menanti yang dikatakan sangat istimewa dan bebas klorin. Air mineral dari telaga ini dikatakan mampu menyembuhkan penyakit. Katanya lah...



Hah alang-alang berada di perkarangan kaki gunung ni, jangan lupa untuk mencuba air nira yang sememangnya sangat terkenal di Daerah Yan ni. Laksa Teluk Kechai juga antara tarikan paling power di Kedah ni. Laksa Teluk Kechai adalah antara laksa yang popular di utara ekoran kelainannya yang laksa beras dihidang bersama sambal kelapa yang akan mencetus rasanya, lain dari yang lain. Antara premis terkenal yang menyajikan Laksa Teluk Kechai yang "famous" di negeri ini adalah Laksa Zakaria Teluk Kechai yang berlokasi di Jalan Kuala Kedah, Kampung Klong Hoi.



Pulut Sambal juga antara menu popular di sini, sebab di Kuala Kedah kalau makan Laksa Teluk Kechai tu kena ada pulut sambalnya sekali. Pulut Sambal ni pulut yang dimakan bersama serunding ikan. Rasanya pedas pedas manis. Dan seterusnya korang kena try ialah Gedong Cak. Fuh, mati-mati ingat ni otak-otak ikan seperti di pantai timur atau otak-otak kempas dari selatan. Ternayta makanan utara ni unik. Gedong Cak yang merupakan kuih melayu tradisional Kedah yang dibalut dengan daun nipah ni rasanya manis manis liat macam dodol, dan terasa kelapa di dalamnya. Bahan-bahan utama Gedong Cak ini ialah tepung pulut, gula melaka dan kelapa. 


14. Muzium Terusan Wan Mat Saman

Di kaki Gunung Jerai juga terdapat Muzium Terusan Wan Mat Saman. Mengikut sejarah, Terusan Wan Mat Saman dibina pada 13 Ogos 1885 oleh bekas Menteri Besar Kedah ketika itu, Dato' Wan Muhammad Saman Wan Ismail yang merupakan individu yang bertanggungjawab dalam pembinaan terusan sedalam 1.5 meter dan lebar 7.5 meter itu. Ia juga dianggap sebagai terusan terpanjang di dunia ketika itu dan yang lebih mengagumkan, pembinaannya menggunakan tenaga manusia dan peralatan tradisional. 


15. Masjid Al-Maghfirah, Kepala Batas Pauh, Sanglang, Perlis 

Kami berhenti solat di Masjid Al-Maghfirah, Kepala Batas Pauh, Sanglang, sebelum meneruskan perjalanan ke Kangar. Kangar merupakan titik paling utara di Semenanjung Malaysia, barat laut Alor Setar dan berhampiran dengan sempadan negara Thailand. Hah tak sabar nak ke Thailand! Eh?


16. Hotel Seri Malaysia, Kangar, Perlis

Hah, kalau korang ke Kangar ni Ney suggest untuk stay di Hotel Seri Malaysia Kangar, Perlis ni sebab di Perlis ni memang tak banyak pilihan hotel pun. Lengkap segalanya, kami berhenti rehat tidur semalaman di sini merehatkan diri. rasa tenang aman damai je sebab hotel ni terletak berhampiran dengan hutan. Flora fauna feeling gituh. 

 

16. Empangan Timah Tasoh, Berseri

Pagi kami dimulai dengan lawatan ke Empangan Timah Tasoh, Berseri. Empangan Timah Tasoh, Perlis. Empangan bernilai RM77 juta, mula dibina pada tahun 1987 membentuk tasik buatan manusia seluas 13.3 hektar persegi di kawasan Berseri, dan mula beroperasi pada tahun 1992. Bertujuan sebagai pusat tadahan air hujan, bagi kegunaan penduduk Perlis. Di bahagian utara berlatar belakangkan Bukit Chabang, dan di bahagian selatan Banjaran Nakawan. Tempat-tempat macam ni selalu ada mitos atau kisah lagenda kan? Hah dikatakan dahulunya, Sungai Timah dan Sungai Tasoh ni diempangkan sehingga terbentuk tasik buatan oleh zaman dulu. Namun empangan itu tak mampu menampung lagi tasik tersebut lalu menenggelamkan seluruh kampung yang ada di sekitar situ. Kampung yang tenggelam itulah yang bernama Tasoh dan yang turut ditenggelamkan ke dalam tasik tersebut juga adalah sekolah, masjid, tanah perkuburan dan rumah-rumah. Betul ke? Wallahualam.





17. Padang Besar, Perlis

Dah sampai ke Perlis hujung Semenanjung Malaysia ni mestilah kena singgah ke Padang Besar - Sempadan Thailand ni ye tak? Gila syurga membeli belah. Sebab tak boleh lama sangat disini, Ney jadi kelam kabut nak shopping lagi, nak tawar harga lagi. Katanya untung datang hari biasa berbanding hari minggu sebab boleh tawar menawar harga sampai murah! Bayangkan seluar trek diorang letak harga sampai RM40 something boleh dapat RM20 je. 50% tau? Sempat la beli beberapa barang je dan kecewa tak dapat shopping banyak haha!

Destinasi menarik yang lain sepanjang laluan persekutuan Alor Setar - Kangar FT001: Tasik Melati, Gua Kelam, Taman Rimba Herba, Laksa Kuala Perlis, Harum Manis, Masjid Al Hussain, Pulut Ayam. 




18. Restoran Cendol Pulut Haji Johari, Napoh, Jitra

Dalam perjalanan pulang dari Perlis, kami singgah di Restoran Cendol Pulut Haji Johari yang terletak di di KM17.3 Lebuhraya Utara Selatan, Pekan Napoh, Jitra, Kedah. Restoran ni beroperasi dari 8 pagi sehingga 11 malam pada setiap hari Sabtu sehingga Khamis.Famous katanya cendol kat sini.Harga cendol biasa serendah RM3.50 dan Ney order Cendol Durian RM7.50 sebab Ney tak makan pulut! Haha.



Santan pekat, tak manis sangat cendolnya, cendol tu pun lembut je, dan durian isi berlemak, biji kecik dua ulas! Fuh kenyang makan Cendol Durian je. Kedai ni ada dua ye, di kedua-dua arah selatan dan utara. Tak rugi untuk cuba kalau korang melalui laluan persekutuan ke sini. Wajib cuba!



19. Pekan Rabu, R&R Gurun, Kedah

Hah jangan tak tahu kini dah ada gerai jualan berkonsep kan Pekan Rabu di  Hentian R&R Gurun Arah Selatan. Yang tak sempat shopping kat Padang Besar tadi, sini pun banyak barang dari Thai dan harga sama je hahahaha. Sempat jugak Ney makan durian lah, buah-buahan tempatan lain, shopping souvenier, dan beli pes tomyam serta kerepek-kerepek dari Thailand. Kan dah cakap tak sempat nak shopping di Padang Besar?


20. Jeruk Madu Pak Ali, Pulau Pinang

Tak sah kalau ke Pulau Pinang kalau tak beli jeruk ye dak? Hah sempat kami singgah pula di Pusat Jualan Jeruk Madu Pak Ali di Perai, Pulau Pinang. Berkilo-kilo jugak masing-masing duk shopping jeruk. Bukan sahaja jeruk tapi ada pelbagai barangan lokal buatan Malaysia yang dijual disini. Wahhhhh rambang mata melihatnya!


Banyak kan destinasi menarik sepanjang Jalan Persekutuan menghala ke utara Semenanjung Malaysia? Hah, tersangat banyak tapi cukup lah Ney listkan 20 tempat je yang sempat Ney singgah selama 3 Hari 2 Malam perjalanan merentasi 5 negeri. Lepas ni boleh lah semua guna jalan utama laluan persekutuan kan? Terima Kasih Kementerian Kerja Raya Malaysia untuk Jelajah FTRoadpedia yang sangat menarik ni!

You Might Also Like

0 comments

drop your comment here!

Like us on Facebook