#krafraya Warna Warni Aidilfitri di Kompleks Kraf Kuala Lumpur

7:47 pm


Sebenarnya dari haritu lagi nak update pasal #krafraya ni tapi tu lah sebab duk pergi Kraf Raya kat Kompleks Kraf Kuala Lumpur pun sampai 4 kali, dan kali ni Kraf Raya Warna Warni Aidilfitri yang bertemakan Nostalgia Kampung cuma berlangsung selama 12 hari maka masa yang ada memang sangat suntuk. Dah 3 tahun berturut-turut setiap kali kraf raya saya akan kesini. Sebab best!





Kraf raya ni sebenarnya satu karnival besar-besaran yang ada jualan kraftangan, pakaian, perkakas rumah, perabot, makanan tradisional dan sebagainya. Sungguh, kalau pening nak shopping raya datang je la sini dari A to Z ada macam macam! Tapi saya selalu ke sini untuk mencari kuih muih tradisional la sebenarnya. Macam bahulu yang dibakar atas dapur kayu api, putu kacang yang rare, kuih karas, kuih loyang, kuih siput, kuih bangkit....hah! semua yang rare dan dibuat cara tradisional ada disini.





Di majlis perasmian kraf raya Warna Warni Aidilfitri 2017 minggu lalu, kebetulan saya di sini. Majlis dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Mas Ermieyati Binti Haji Samsudin, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur dan hadir sama pada majlis tersebut adalah Yang Berbahagia Dato' Hajah Zuraida Binti Mokhtar, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia , Yang Berusaha Encik Yusak Bin Haji Mahamod, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Kraftangan Malaysia dan Yang Berusaha Encik Ibrahim Bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Kraftangan Malaysia. Majlis dimeriahkan lagi dengan pemberian sumbangan raya kepada anak anak autisme. Nampak muka mereka yang sangat happy dapat duit raya!




Masuk PERCUMA! Warna Warni Aidilfitri 2017 akan berlangsung dari 1 hingga 12 Jun, dan ratusan gerai jualan, tempahan baju dan songkok raya, kuih raya, dekorasi raya, bag raya, kasut raya, pinggan mangkuk raya, ada kat sini! Tak lupa juga setiap hari juga ada Bazar Ramadhan kat sini! Paling power Rendang kat sini. Siap ada lemang sekali. Fuh lengkap lah macam suasana kampung di hari raya dah. Demonstrasi menganyam ketupat, membakar lemang, mengacau dodol, bubur lambuk dan sebagainya pun ada disini. Di bahagian muzium pula ada suasana nostalgia kampung yang akan mengimbau kenangan lalu. Teringat kampung nenek tetibe kan. Makcik-makcik kat perkarangan rumah kampung tadi pula siap buat demonstrasi membuat kuih raya tradisional. Nak bayar zakat pun takdehal ada kaunter zakat disini.

Yang menariknya ada pelbagai aktiviti untuk pengunjung turut serta memeriahkan lagi Warna Warni Aidilfitri disini. Penyertaan adalah percuma. Antara pertandingan yang diadakan ialah Pertandingan Reka Cipta Raya iaitu mencipta dan mendekorasi kad raya, Pertandingan Spontan Raya iaitu untuk mereka yang sporting melakonkan semula mengikut arahan, dan aktiviti menarik yang disediakan, Pertandingan Rumi Ke Jawi iaitu melibatkan kanak-kanak yang dikehendaki untuk menulis jawi berdasarkan perkataan rumi yang diberi, Pertandingan Video Kreatif untuk menarik lebih banyak pengunjung ke Kompleks Kraf Kuala Lumpur dan Pertandingan Riuh Rentap Raya (3R) yang melibatkan 3 orang peserta masuk permainan seperti explorace.


Saya sempat masuk Pertandingan Video Kreatif dan Alhamdulillah cuma jadi TOP 10 Finalist tak menang hadiah utama. Dapat sijil dan hadiah saguhati pun dah bersyukur. Sempat juga join Pertandingan Riuh Rentap Raya (3R) bersama Achik Huda dan Sally, kami bergabung tenaga berentap dengan 11 kumpulan yang lain. Walaupun tak menang tapi kami cukup seronok mempelajari banyak benda dalam 3R ni. Kami Kumpulan Kimchi Ke Kampung dikehendaki ke beberapa check point dan menyelesaikan 5 tugasan berbeza.



Tugasan Pertama : Menganyam Ketupat.
Berjaya menghasilkan 4 kelongsong ketupat dalam masa 15 minit. Cukup berbangga sebab kami baru belajar masa tu jugak haha!



Tugasan Kedua: Mencanting Batik.
Kami perlu melukis batik, warnakan dan keringkan dalam masa 15 minit dengan tema hari raya. Kelam kabut juga masa tu la nak fikir idea, nak melukis kubah masjid, ketupat dan pelita. Nasib cantik jugak walaupun lilin tumpah! haha.


Tugasan Ketiga: Membuat Kuih Siput.
Tepung sudah diuli siap, dan dalam masa 15 minit kami dikehendaki untuk membentuk kuih siput dan menggorengnya dengan cara yang betul. Kelam kabut jugak nak siapkan sebanyak yang mungkin.


Tugasan Keempat: Menjahit Tulang Belut.
Yang ini saya failed! Tulang belut jadi tulang ikan pekasam. Berselirat jahitan saya. Punya susah sebab banyak step haha! Dah la dalam masa 15 minit kena buat sepanjang yang mungkin.


Tugasan Kelima: Jerat Raya!
Melepaskan tali dari jerat rotan, kebanyakkan nya yang lelaki je berjaya. Wei susah wei! Entah macam mana nak keluarkan tali tu haha!

Walaupun tak menang, tapi kami seronok join sekali Riuh Rentap Raya ni. Dengan semangat berbaju kurung kedah dengan kain batik saya berlari sana sini. Lepas habis semua tengok fashion show pulak. Memang banyak la aktiviti disini! Jom ramai ramai ke Kraf Raya Warna Warni Aidilfitri 2017 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Kraftangan Malaysia,
Kompleks Kraf Kuala Lumpur,
Jalan Conlay, Kuala Lumpur.
Tel: 03-2162 7533 / 03-2162 7459 
Website: www.kraftangan.gov.my
Instagram: @Kraftangan Malaysia
Facebook: Kraftangan Malaysia 





You Might Also Like

0 comments

drop your comment here!

Like us on Facebook