Review: Adiwiraku - Filem penuh jiwa, dan inspirasi.

9:23 pm


Sedikit rasa penyesalan sebab selepas beberapa hari ditayangkan baru berkesempatan untuk menonton Adiwiraku - filem yang penuh jiwa, terbuai emosi dan terkesan di hati. Kali terakhir saya tonton filem penuh jiwa dan ada kelainan seperti ini ialah filem Ola Bola, Pekak dan The Kid From The Big Apple.  Imbas kembali, filem Ola Bola adalah filem adaptasi dari kisah benar tentang dunia bola sepak. Sama jugak macam Adiwiraku, filem ini juga dipetik dari sebuah kisah benar. Cuma yang lebih uniknya, hampir semua watak sebenar dilakonkan semua oleh individu itu sendiri. Ya, tentunya mereka tiada pengalaman berlakon langsung, tapi cerita yang berteraskan kisah benar lah biasanya kisah yang terbaik untuk kita tonton dan pelajari sesuatu.



 

Adiwiraku mengisahkan pengorbanan dan perjuangan seorang guru Bahasa Inggeris bernama Cheryl Ann Fernando yang dilakonkan semula oleh Sangeeta Krishnasamy yang telah dihantar untuk bertugas di sekolah luar bandar, SMK Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah. Dari hari pertama Cikgu Cheryl Ann Fernando bertugas, dia dah kena hadap macam-macam perangai anak muridnya. Bayangkan ada yang rebel teruk, pemarah sampai tahap baling kerusi keluar kelas, pendiam memendam perasaan, kaki buli, ponteng sekolah dan macam-macam lagi. Tapi sebab semangat yang kuat dan percaya dia mampu mengubah mereka, Cikgu Cheryl tetap tabah. SMK Pinang Tunggal menunjukkan realiti sebenar kisah sekolah luar bandar yang mempunyai masalah pembelajaran dan pertuturan Bahasa Inggeris yang sangat lemah, dan masalah disiplin di kalangan mereka, masalah keluarga dan lain-lain. Yes, they really exist! Dan filem ni berjaya membuka mata pihak yang masih belum sedar masalah macam ni masih wujud di luar sana.


 

Filem yang ini merupakan arahan Eric Ong. Filem ini dibintangi oleh Sangeeta Krishnasamy, Xavier Fong, Wan Azlyn, Farra Safwan, Ahmad Adnin Zidane, Irdina Tasmin, Balqis Sani, Rizal Fahmi dan ramai lagi. Menurut Eric Ong, pengarah kepada filem Adiwiraku ini, filem ini menitik beratkan nilai dalam mempercayai diri anda sendiri dan tidak mengharap bantuan daripada insan lain untuk menjadi hero anda. Sebaliknya usaha itu perlu mula dari diri anda sendiri dan berhenti merungut. Cikgu Cheryl dan dibantu oleh Cikgu Constant (dilakonkan oleh Xavier Wong), sentiasa mengambil langkah untuk memikat hati pelajar-pelajar mereka untuk terus minat belajar, waima dengan rasuah mereka dengan keropok ringan, air kotak atau aiskrim sekalipun sehinggalah melatih mereka untuk menyertai Pertandingan Choral Speaking peringkat daerah.


  

Sebenarnya, pada tahun 2015 kisah Cikgu Cheryl yang berjaya membantu SMK Pinang Tunggal meraih tempat ke lima dalam Pertandingan Choral Speaking telah viral di sosial media dan memberi idea kepada Eric Ong dari SOL Pictures untuk memfilemkan kisah mereka. 35 pelajar telah dilatih selama enam bulan untuk berusaha meningkakan Bahasa Inggeris dan menambah keyakinan berhadapan depan khalayak ramai untuk menyertai pertandingan yang belum tentu mereka menang pun. Dan bila diumumkan menang tempat kelima dalam pertandingan tu, dan satu-satunya sekolah luar bandar yang mampu mengalahkan sekolah elit yang lain,  itu dah seperti pencapaian paling besar untuk sekolah mereka dan seluruh penduduk kampung. 

Setiap karakter pelajar dilakonkan sendiri oleh pelajar-pelajar Cikgu Cheryl sendiri melainkan watak Iqbal, Alia dan Kemboja yang dilakonkan semula watak mereka. Bayangkan tanpa apa apa pengalaman berlakon, dan tiada kelas latihan lakonan pun, mereka berjaya shooting filem ni hanya selama 13 hari je ketika cuti sekolah bulan Mac? Dan mereka berjaya menjiwai watak tu terutamanya Ahmad Adnin Zidane, Irdina Tasmin, Balqis Sani yang saya kagum lihat ekspresi muka mereka, dan gaya lakonan. Dengan lawak jenaka selamba dan bersahaja diselang seli loghat Utara, pun mampu buat kami ketawa sakan dalam pawagam. Lakonan berdasarkan pengalaman sebenar, memang masuk jiwa! 



“We didn’t go through acting training. We went for an audition, and a week after that we started filming. Yes, there was a script written for us, but most of us played our own roles and this is based on a true story, so we just had to re-enact what happened before. The best part was when we finished a scene in just one or two takes. The worst part was when we needed to do numerous takes for just one scene. But we take that as experience, so it didn’t feel that bad.” – Irdina Tasnim, student at SMK Pinang Tunggal (sumber: Cilisos)

Kalau korang tak menitiskan air mata menonton filem Adiwiraku, memang korang punya masalah ni. Filem ni berjaya buat kawan-kawan lelaki saya yang duduk satu row masa dalam wayang pun menangis teresak-esak. Pertama kali saya tonton filem yang saya boleh dengar suara orang menangis teresak-esak sampai habis wayang. Jujur, saya pun menangis 4 kali. Kisah Alia dan ibunya yang sakit mental, kisah Kemboja yang terpaksa ponteng sekolah demi menyara keluarga, momen Kemboja bahagi kan sekeping biskut kering kepada 4 bahagian untuk bagi ayahnya yang sakit makan, kisah pelajar yang membantu ibu bapa berniaga pasar malam setiap hari selepas pulang dari sekolah, kisah Iqbal yang belajar bersungguh-sungguh demi mengumpul sticker prestasi kerana nak dapatkan bag sekolah baru untuk kakaknya, kisah Iqbal meninggal dunia pada malam raya, dan macam-macam lagi. Sedih weyh sumpah sedih.

Nampak kesungguhan mereka untuk berubah, yang degil jadi lembut hati,  usaha Cikgu Cheryl dan Cikgu Constant yang tidak pernah putus asa membantu mereka, mendidik mereka, ketika di sekolah sehinggalah tamat waktu persekolahan. Mainan emosi dari awal cerita hingga habis. Susah untuk kita lihat filem-filem tempatan yang tanpa menggunakan pelakon terkenal, tapi berkualiti seperti ini. Sebuah filem yang mampu memberi inspirasi kepada semua orang.



Kebetulan kami berjumpa dengan Xavier Wong, pelakon yang membawa watak Cikgu Constant dalam filem Adiwiraku masa menonton wayang di Midvalley Megamall malam tadi. Beliau yang juga guru muzik sempat berkongsi rasa dan pengalaman waktu berlakon filem ni. Katanya, dia terima job ni pun sebab dia sendiri tahu rasa seorang guru atau pendidik tu macam mana. YES! Sebagai seorang cikgu sekolah, saya faham betul apa yang Cikgu Cheryl tu rasa cuma bezanya, saya tidak pernah lagi mengajar di sekolah luar bandar. Lebih besar amanah Cikgu Cheryl ni. Respect! Dan habis je wayang semalam ramai-ramai bertepuk tangan satu pawagam yang hampir penuh tu. Tanda filem ini betul-betul hebat! Tidak hairan lah filem ini telah pun berjaya menempatkan diri di separuh akhir dalam Equality International Film Festival dan dicalonkan sebagai finalis untuk Festival Filem Phoenix 2017 di Melbourne, Australia.

Secara keseluruhan, naskah Eric Ong ni adalah sebuah naskah terbaik dan tidak mengecewakan dan mampu memberi impak kepada para penonton. Ini lah filem yang wajib ditonton oleh semua orang. Sayangnya, hanya beberapa pawagam tayang filem ni dan tak banyak sangat tayangan nya. Dan sayang lagi, tiada publisiti besar-besaran untuk filem ini sehinggakan takde orang sedar pun tentang kewujudan filem ni. Tontonlah filem Adiwiraku ni sebelum terlambat kerana ianya mungkin tidak akan bertahan lama di pawagam sana. Saya tidak dibayar untuk menulis review ini, malah kami bayar sendiri harga tiket kami malam tadi. Sebab saya yakin, ini bukan filem yang biasa-biasa. Saya berjanji dengan sepenuh kuasa bateri saya bahawa naskah rakyat ini punya jiwa dan rasa. Sebuah penceritaan realiti hidup yang digarap sebaiknya. Realiti hidup yang tidak semua orang pernah lalui. Saya bagi 10/10 markah untuk filem penuh jiwa dan inspirasi ini.





Life is unpredictable. 
We accept fate, but we will never surrender. 
Sakit itu sementara, kegemilangan itu selamanya.
Kalau bukan kita yang percaya pada diri kita sendiri, siapa lagi?



You Might Also Like

2 comments

drop your comment here!

Like us on Facebook